KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan sedang menjalankan
siasatan berhubung 10 produk stevia yang didakwa palsu dan dijual di pasaran
bagi memastikan produk terbabit mematuhi perundangan makanan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
berkata, siasatan itu susulan laporan sebuah akhbar bertajuk 'Awas Stevia
Palsu' yang mendedahkan hasil ujian makmal dua universiti tempatan.
Siasatan dijalankan menurut Peraturan 118A
Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983 yang telah
menetapkan standard bagi produk ekstrak stevia, katanya dalam kenyataan, di
sini hari ini.
Beliau berkata, mereka yang mengimport, mengedar,
menyimpan atau menjual makanan yang mengandungi bahan beracun, merosakkan atau
memudaratkan kesihatan termasuk produk stevia yang mengandungi bahan kimia
berbahaya boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak 1ebih 10
tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Laporan akhbar itu menyebut hasil ujian makmal oleh
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia menunjukkan
10 produk terbabit tidak mengandungi ekstrak tumbuhan sebaliknya adalah
kombinasai bahan kimia berbahaya.
Ekstrak stevia adalah sejenis bahan pemanis semula jadi yang
diekstrak daripada daun pokok Stevia rebaudiana bertoni yang mengandungi
glikosida steviol dan diproses menjadi serbuk putih hingga kuning cerah, tidak
berbau dan mempunyai rasa manis.
Ia boleh digunakan sebagai pengganti kepada gula biasa
khususnya kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes.
Dr Noor Hisham turut meminta pengguna yang mempunyai
kemusykilan berhubung keselamatan makanan agar menghubungi pejabat kesihatan
daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat, atau melalui laman sesawang
http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti
Makanan www.facebook.com/bkkmhq. - Bernama
Sumber - Sinar Harian Online